Monday, 17 February 2014

Tip umrah_Niat

BAB 5 NIAT

Semua perkara bermula dengan niat. Namun niat hanya boleh satu. Ia perlu mematuhi ayat 56, surah Ad-Dzariyat yang bermaksud, 
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Mudah dan jelas. Umrah dan ziarah wajib dilakukan sebagai satu amal ibadat kepadaNya. Semata-mata keranaNya. Semata-mata keranaNya. Semata-mata keranaNya dengan bersungguh.
Kami bertemu dengan ramai jemaah. Ada juga yang menyebut ... saya datang kali ini kerana membawa anak-anak menunaikan umrah. Diulang-ulang dengan bersungguh seolah-olah itulah tujuan utama. 
Lalu – secara hakikatnya – beliau membawa anak-anak beramal ibadat bukannya beliau yang mahu beramal ibadat. Ia jatuh tahap kedua. Mungkin lebih mudah menyatakan ... "Alhamdulillah kerana diberi rezeki untuk menunaikan ibadat umrah bersama anak-anak".
Lalu ajarlah anak-anak kaedah berumrah dan berziarah dengan betul dan sempurna. Kebiasaannya, ibu bapa mengikut rentak anak-anak.
Kami juga mendengar ada yang berkata ... ada konferens di Madinah. Terlanjur di sini, buat ajelah umrah. 
Perkataan ajelah melambangkan tahap kesungguhan. Ia tidak dapat ditelah sepenuhnya bagaimana ibadat umrah dan ziarah ini pada hati dan perasaan.
Ada juga yang menjadikan Makkah dan Madinah sebagai rutin tahunan untuk hadir. Alhamdulillah ... namun nikmat berada di Makkah dan Madinah belum tentu lagi dapat diterjemahkan sebagai nikmat beramal ibadat sepenuhnya.
Boleh atau tidak begitu? 
Lalu menarik bagaimana umrah disebut oleh Allah SWT melalui ayat 196, surah Al-Baqarah yang bermaksud,
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrahkerana Allah ....

Saf hadapan

Saf Hadapan
Kita mengajak atau menyarankan jemaah umrah lelaki yang hanya berada 3-5 hari di Madinah beriktikaf di dalam masjid sekurang-kurangnya 12 jam 1 saat. Perbanyakkan masa beriktiqaf ini di waktu tahajud.
Selebihnya beradalah di luar masjid (pss .. jika terlalu cintakan hotel yang dibayar sewa). Itulah salah satu kesungguhan berdasarkan jumlah masa.
INGAT ... ia tidak wajib! Ia hanya pilihan untuk mereka yang mahu berfikir.
Mereka yang mahu begitu - Insya Allah - tidak bermasalah pula mendapat yang terbaik. Misalnya berada di saf hadapan. Allah ... ya Allah ... nikmat saf hadapan inilah mahu dibawa balik ke Tanah Air. Ia lebih mudah kerana di kampung atau Taman sendiri tidak ramai yang bersungguh mahu merebut saf pertama. Agak saya begitu. 

Doa ibu bapa

  • DOA IBU BAPA

    • BERDOALAH untuk melahirkan pelajar cemerlang berdasarkan beberapa konsep asas yang telah dicatatkan melalui bab terdahulu. Amalan ini – sebenarnya – membawa manusia kembali kepada fitrah asal iaitu kebergantungan kepada Allah SWT. Dialah yang Maha Berkuasa di atas segalanya.

      Perasaan kasih-sayang ibu bapa dan keinginan mahu anak-anak berjaya dengan cemerlang boleh membawa mereka lebih hampir kepadaNya. Permohonan atau doa ibu bapa kepada Allah SWT agar anak-anak menjadi pelajar cemerlang mencakupi soal akademik dan bukan akademik. Malah ia perlu diteraskan kepada dua asas penting bagi mereka yang percayakan Allah SWT iaitu, rukun Islam dan Iman.

      Itulah – berdoa – merupakan salah satu peranan utama ibu bapa yang sering diabaikan. Bukankah Baginda SAW pernah menyatakan,

      Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dandoa orang tua terhadap anaknya.

      (Hadis ini direkodkan oleh Iman Tarmidzi, Ahmad dan Abu Daud)

      Bayangkanlah jika hampir setiap hari – mungkin lima kali sehari – kita memohon kepadaNya,

      Ya Allah ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa anak-anak kami. Ya Allah, jadikanlah anak-anak kami sebagai anak yang soleh dan solehah, anak-anak yang tahu menghormati kedua orang ibu bapa, adik-beradik, guru-guru, kaum keluarga dan muslimin dan muslimat.

      Ya Allah, jadikan anak perempuan kami sebagai anak yang mahu menutup aurat dengan sempurna, anak lelaki kami mahu solat berjemaah di masjid, tidak menduakan Mu, mahu melakukan amal ibadat wajib dan sunat dan sentiasa meninggalkan apa yang dilarang.

      Ya Allah ya Tuhan kami, pancarkan kasih sayangMu, terangkanlah hatinya, kuatkanlah daya ingatannya, mudahkan pemahamannya dan lembutkanlah tutur katanya dan berikanlah kejayaan cemerlang di sisi Mu dalam proses mereka mencari ilmu. Berikanlah ilmu bermanfaat kepada mereka. Ya Allah, anugerahkanlah kejayaan di dunia dan akhirat.

      Ya Allah kumpulkan kami semua di syurga Mu ya Allah.  

      Allah Maha Mendengar. Bayangkanlah bagaimana jika ibu bapa sedang bermusafir dan berjauhan dengan kaum keluarga lalu mendoakan kejayaan anak-anak. Ia ingatan yang bermanfaat. Berdoa perlu dijadikan amalan harian kedua-dua ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak. Ia boleh dilakukan hatta ketika bermusafir. Doa-doa ini tentu sekali tidak memerlukan modal wang ringgit tetapi lebih kepada rasa cinta, kasih sayang bersandarkan kepada kekuasaan dan kehebatan Allah SWT.

      Dalam hadis yang lain, Baginda SAW menyatakan bahawa doa orang yang berpuasa mustajab di sisi Allah SWT. Puasa merupakan amalan yang sangat istimewa. Ia amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT sehinggakan pahala orang berpuasa hanya Allah SWT sahaja akan anugerahkan. Para malaikat sendiri tidak tahu berapa banyak pahala yang hendak dicatatkan. Ada sebuah hadis qudsi berbunyi, “puasa adalah milik Ku dan Akulah yang akan membalasnya”. Maka ia sangat sesuai dengan apa yang telah disebut oleh Baginda SAW yang bermaksud,

      Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya.
      (Hadis ini direkod oleh Termidzi)

      Kami sering membayangkan bagaimana ibu bapa berpuasa Nabi Daud (nota: puasa selang sehari) yang mendoakan kejayaan cemerlang anak-anak mereka. Benar, ia bukan soal kejayaan akademik semata-mata. Allah ya Allah, wujudkah ibu bapa yang sebegini rupa? Ia sangat adil untuk mereka mengharapkan kejayaan cemerlang dengan mereka sendiri melakukan amalan terpuji di sisiNya.

      Malah bayangkan pula bagaimana jika ibu bapa bangun setiap hari pada 1/3 malam tersisa beramal ibadat kepadaNya sambil mendoakan kejayaan anak-anak. Bukankah Allah secara jelas sudah menjanjikan sesuatu yang luar biasa berkaitan doa pada waktu ini?

      Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya?

      (Hadis ini direkodkan oleh Iman Bukhari dan Muslim)

      Ia sungguh menarik memperkatakan peranan dan amalan doa yang boleh dimanfaatkan dalam membentuk pelajar cemerlang. Sungguh, ia berangkai-rangkai di antara satu ibadat dengan ibadat yang lain. Akhirnya, pelajar cemerlang – sememangnya – dilahirkan oleh ibu bapa yang cemerlang. Malah Allah SWT menyatakan secara tegas melalui al-Quran yang bermaksud,

      Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang  Aku, maka (jawablah), sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
      (Petikan surah al-Baqarah ayat 186).

      Allah SWT tersangat dekat dengan hambaNya. Cuma Dia mahu hambanya mematuhi setiap suruhan dan meninggalkan segala laranganNya. In sya Allah, doa-doa yang dipohon oleh ibu bapa agar anak-anak cemerlang dimakbulNya. Moga Allah memberi kita ilham untuk mendidik anak-anak agar seimbang kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Kami fikir, tidak perlulah mengupah orang untuk berdoa atau mengharapkan air tawar tanpa kita sendiri memohon kepadaNya.

      Masya Allah, Subhanallah, Allahu Akbar.

Gandaan pahala

Bismillah hirrahmā nirrahīm

  • BISIKAN HATI MKI
    (BUKU Ilmu Kehidupan USAHAWAN AKHIRAT)

    Bab nombor Usahawan diilhamkan Allah SWT tatakala mata merenung papan notis Masjid Nabawi. Ia ketika kaki melangkah keluar melalui pintu 21(King Fadh). Tercatat (terjemahan) …
    Satu kali solat di masjidku ini lebih baik daripada seribu kali solat di tempat lain melainkan di Masjidil Haram.

    Lalu berdasarkan folk Mathematics saya membuat kiraan mudah. Hampir setiap hari kami sekeluarga berikhtikaf di sini kurang-lebih 6 jam sehari. Sehari di sini bersamaan 6000 jam, seminggu 42000 jam dan sebulan 168000 jam jika berada di Masjid Biru Shah Alam atau mana-mana masjid di Malaysia. Jika setahun … saya tidak mampu (malas) lagi untuk membuat congakan. Lalu saya permudahkan dengan hanya mengira 10 bulan.
    Maka saya hanya perlu menambah satu angka kosong di belakang menjadikan 1680000 jam. Sebutannya satu juta enam ratus lapan puluh ribu jam bersamaan dengan hampir 70000 hari atau menghampiri 192 tahun. Jika saya berada di Madinah dan mengambil nikmat anugerah Allah SWT berada di dalam masjid Nabawi selama tiga tahun maka ia seumpama bersolat di dalam masjid Biru Shah Alam 575 tahun. 
    Saya terasa sebak.
    Sebagai seorang yang dilatih di dalam bidang perakaunan, mengajar ribuan anak murid di peringkat sijil, diploma, ijazah dan PhD maka nombor-nombor mutlak ini menjadi mainan harian. Malah dalam sistem perniagaan kapitalis nombor-nombor perniagaan yang bernilai kewangan diukur untuk menilai prestasi. 
    Pada setiap hujung tahun nombor-nombor ini diimbangkan. Perolehan dibandingkan dengan perbelanjaan. Jika ada lebihan maka ia disebut keuntungan. Bagi seorang pengurus, lebihan keuntungan setiap tahun menunjukkan prestasi cemerlang di sisi pemegang saham, pemberi modal atau tuan punya syarikat. Lalu mereka akan dianugerahkan dengan pangkat, bonus, kuasa dan pelbagai kemudahan. Ia meningkatkan darjat kehidupan manusia. Namun mereka masih bertaraf pekerja kepada tuan punya syarikat.
    Saya – di dalam Masjid Nabawi – melihat nombor-nombor ini melangkaui sifatnya yang mutlak. Minda menyaksikan terdapat sifat-sifat Allah SWT – Maha Pengasih lagi Maha Penyayang – terhadap hambaNya. Begitulah Allah SWT sentiasa bersifat Maha Pemurah dengan menganugerahkan ganjaran beramal ibadat yang kelihatan tidak sepadan dengan masa yang dihabiskan oleh mereka yang mahu berada di dalam masjid Nabawi. 
    Begitulah … saya terkedu kerana mengingati bagaimana Allah SWT telah nyatakan,
    Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

    (Terjemahan surah an-Nahl, ayat 18).

    Benar. Saya tidak mampu mengira pantas dan sepenuhnya apa yang saya fikirkan tentang ganjaran berada di Masjid Nabawi. Itu baru sahaja satu nikmat kecil berbanding dengan keseluruhan kehidupan manusia. Benar ... manusia beramal ibadat bukan kerana ganjaran. Allah SWT berfirman melalui ayat 56, surah Ad-Dzariyat yang bermaksud, 
    Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

    Itu sahaja. Malah ganjaran-ganjaran yang dijanjikannya merupakan salah satu bentuk amal ibadat jiwa bagi mengaitkan dengan keyakinan dan kepercayaan betapa Allah SWT bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Lalu bila DZ – pensyarah tamu U-MKI – mengajak saya menulis buku bertajuk Usahawan Akhirat, saya tidak bertangguh untuk melihat nombor-nombor tertentu sebagai teras atau kerangka penulisan.
    Tentu sekali saya tidak berniat atau tidak mampu untuk menulis nombor-nombor ini dalam konteks i'jaz arqami atau pun i'jaz adadi. Ia bidang yang terlalu tinggi buat insan kerdil seperti saya. Tidak. Ia bukan begitu. Malah ia dilihat dari sisi berbeza. Nombor-nombor yang dibincangkan hanyalah sebagai satu motivasi atau ajakan kepada khalayak supaya menghampirkan diri kepadaNya. Ia dilihat daripada perspektif ringkas dan santai. 
    Sungguh ... Allah SWT sangat-sangat sayang kepada hambaNya sehinggakan setiap kebaikan bermula dengan gandaan sepuluh sehingga mencecah 700 kali ganda. Malah bersolat di Masjidil Haram dianugerahkan 100000 kali lebih baik berbanding mana-mana masjid di dunia. Namun jangan sekali-kali kita mahu ke sana semata-mata kerana nilaian tersebut. Lakukan sesuatu semata-mata kerana Allah SWT. Ganjaran pasti datang sebagaimana janjiNya.
    Malah saya terpegun, terdiam dan terfikir bagaimana sabarnya Nabi Nuh berdakwah kepada keluarga dan kaumnya beratus tahun. Hasilnya, Baginda masih belum mampu membawa isteri dan anak-anak bertemu jalan selamat. Mereka meninggal di dalam kesesatan yang nyata. Lalu siapalah kita yang baru setahun-dua mengajak orang solat berjemaah, bangun malam atau berpuasa sunat untuk berasa hampa dan berdukacita. 
    Allah ya Allah ... terimalah catatan ringkas ini seadanya. Ia ditulis dari hati yang mahu meninggalkan sedikit ilmu yang boleh difikirkan. Moga ia bermanfaat. Bayangan masa berbaki yang sangat suntuk benar-benar menghantui jiwa dan perasaan. Jika saya dipanggilNya, lintaskan sedikit permintaan agar Dia mengampunkan kesemua dosa-dosa terutamanya dosa-dosa penulisan yang khilaf dan tidak benar.
    Terima kasih semua. Kami mohon keampunan Allah SWT.

    MuhdKamil Ibrahim
    Madinah