Monday, 17 February 2014

Gandaan pahala

Bismillah hirrahmā nirrahīm

  • BISIKAN HATI MKI
    (BUKU Ilmu Kehidupan USAHAWAN AKHIRAT)

    Bab nombor Usahawan diilhamkan Allah SWT tatakala mata merenung papan notis Masjid Nabawi. Ia ketika kaki melangkah keluar melalui pintu 21(King Fadh). Tercatat (terjemahan) …
    Satu kali solat di masjidku ini lebih baik daripada seribu kali solat di tempat lain melainkan di Masjidil Haram.

    Lalu berdasarkan folk Mathematics saya membuat kiraan mudah. Hampir setiap hari kami sekeluarga berikhtikaf di sini kurang-lebih 6 jam sehari. Sehari di sini bersamaan 6000 jam, seminggu 42000 jam dan sebulan 168000 jam jika berada di Masjid Biru Shah Alam atau mana-mana masjid di Malaysia. Jika setahun … saya tidak mampu (malas) lagi untuk membuat congakan. Lalu saya permudahkan dengan hanya mengira 10 bulan.
    Maka saya hanya perlu menambah satu angka kosong di belakang menjadikan 1680000 jam. Sebutannya satu juta enam ratus lapan puluh ribu jam bersamaan dengan hampir 70000 hari atau menghampiri 192 tahun. Jika saya berada di Madinah dan mengambil nikmat anugerah Allah SWT berada di dalam masjid Nabawi selama tiga tahun maka ia seumpama bersolat di dalam masjid Biru Shah Alam 575 tahun. 
    Saya terasa sebak.
    Sebagai seorang yang dilatih di dalam bidang perakaunan, mengajar ribuan anak murid di peringkat sijil, diploma, ijazah dan PhD maka nombor-nombor mutlak ini menjadi mainan harian. Malah dalam sistem perniagaan kapitalis nombor-nombor perniagaan yang bernilai kewangan diukur untuk menilai prestasi. 
    Pada setiap hujung tahun nombor-nombor ini diimbangkan. Perolehan dibandingkan dengan perbelanjaan. Jika ada lebihan maka ia disebut keuntungan. Bagi seorang pengurus, lebihan keuntungan setiap tahun menunjukkan prestasi cemerlang di sisi pemegang saham, pemberi modal atau tuan punya syarikat. Lalu mereka akan dianugerahkan dengan pangkat, bonus, kuasa dan pelbagai kemudahan. Ia meningkatkan darjat kehidupan manusia. Namun mereka masih bertaraf pekerja kepada tuan punya syarikat.
    Saya – di dalam Masjid Nabawi – melihat nombor-nombor ini melangkaui sifatnya yang mutlak. Minda menyaksikan terdapat sifat-sifat Allah SWT – Maha Pengasih lagi Maha Penyayang – terhadap hambaNya. Begitulah Allah SWT sentiasa bersifat Maha Pemurah dengan menganugerahkan ganjaran beramal ibadat yang kelihatan tidak sepadan dengan masa yang dihabiskan oleh mereka yang mahu berada di dalam masjid Nabawi. 
    Begitulah … saya terkedu kerana mengingati bagaimana Allah SWT telah nyatakan,
    Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

    (Terjemahan surah an-Nahl, ayat 18).

    Benar. Saya tidak mampu mengira pantas dan sepenuhnya apa yang saya fikirkan tentang ganjaran berada di Masjid Nabawi. Itu baru sahaja satu nikmat kecil berbanding dengan keseluruhan kehidupan manusia. Benar ... manusia beramal ibadat bukan kerana ganjaran. Allah SWT berfirman melalui ayat 56, surah Ad-Dzariyat yang bermaksud, 
    Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

    Itu sahaja. Malah ganjaran-ganjaran yang dijanjikannya merupakan salah satu bentuk amal ibadat jiwa bagi mengaitkan dengan keyakinan dan kepercayaan betapa Allah SWT bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Lalu bila DZ – pensyarah tamu U-MKI – mengajak saya menulis buku bertajuk Usahawan Akhirat, saya tidak bertangguh untuk melihat nombor-nombor tertentu sebagai teras atau kerangka penulisan.
    Tentu sekali saya tidak berniat atau tidak mampu untuk menulis nombor-nombor ini dalam konteks i'jaz arqami atau pun i'jaz adadi. Ia bidang yang terlalu tinggi buat insan kerdil seperti saya. Tidak. Ia bukan begitu. Malah ia dilihat dari sisi berbeza. Nombor-nombor yang dibincangkan hanyalah sebagai satu motivasi atau ajakan kepada khalayak supaya menghampirkan diri kepadaNya. Ia dilihat daripada perspektif ringkas dan santai. 
    Sungguh ... Allah SWT sangat-sangat sayang kepada hambaNya sehinggakan setiap kebaikan bermula dengan gandaan sepuluh sehingga mencecah 700 kali ganda. Malah bersolat di Masjidil Haram dianugerahkan 100000 kali lebih baik berbanding mana-mana masjid di dunia. Namun jangan sekali-kali kita mahu ke sana semata-mata kerana nilaian tersebut. Lakukan sesuatu semata-mata kerana Allah SWT. Ganjaran pasti datang sebagaimana janjiNya.
    Malah saya terpegun, terdiam dan terfikir bagaimana sabarnya Nabi Nuh berdakwah kepada keluarga dan kaumnya beratus tahun. Hasilnya, Baginda masih belum mampu membawa isteri dan anak-anak bertemu jalan selamat. Mereka meninggal di dalam kesesatan yang nyata. Lalu siapalah kita yang baru setahun-dua mengajak orang solat berjemaah, bangun malam atau berpuasa sunat untuk berasa hampa dan berdukacita. 
    Allah ya Allah ... terimalah catatan ringkas ini seadanya. Ia ditulis dari hati yang mahu meninggalkan sedikit ilmu yang boleh difikirkan. Moga ia bermanfaat. Bayangan masa berbaki yang sangat suntuk benar-benar menghantui jiwa dan perasaan. Jika saya dipanggilNya, lintaskan sedikit permintaan agar Dia mengampunkan kesemua dosa-dosa terutamanya dosa-dosa penulisan yang khilaf dan tidak benar.
    Terima kasih semua. Kami mohon keampunan Allah SWT.

    MuhdKamil Ibrahim
    Madinah

No comments:

Post a Comment